Menterinya masakini adalah Dato' Seri Rais Yatim.
Sejarah
Asal Kementerian ini bermula sebelum kemerdekaan negara ini dalam tahun 1957. Penubuhan Kementerian Luar Malaysia telah dimulakan setahun sebelum kemerdekaan untuk melatih sekumpulan sebelas diplomat untuk menggerak misi diplomatik luar negara. Kumpulan ini telah dilatih di Britain dan Australia. Kementerian ini mengikut model Pejabat Luar Negeri British. Pada mulana, hanya tiga pegawai yang membahagikan dunia ini kepada tiga bahagian mengikut tanggungjawab geografi individu mereka.Objektif
Dalam merumuskan dasar luar negara, setiap negara mempunyai matlamatnya sendiri. Dasar luar negara Malaysia adalah mudah, iaitu mencari apa yang penting kepada negara di peringkat antarabangsa.Kerajaan Malaysia akan berusaha memastikan bahawa Malaysia terus memainkan peranan yang aktif dalam hubungan antarabangsa demi manfaat negara. Dalam usaha mencapai objektif dasar luar negara Malaysia, perkara berkut diberikan penekanan:•Mengekalkan hubungan yang harmoni dengan semua negara tanpa mengambil kira ideologi dan sistem politik;
•Mengambil pendirian bebas, berkecuali dan berprinsip dalam hal ehwal diplomatik serantau dan antarabangsa;
•Menjalin hubungan erat dan perkongsian ekonomi dengan semua negara, terutamanya dengan ASEAN dan negara serantau yang lain;
•Menggalakkan keamanan dan kestabilan di rantau ini dengan membina keupayaan dan mengambil pendekatan menyelesaikan konflik;
•Berperanan sebagai pemimpin yang berpengaruh selaku Pengerusi ASEAN, Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) (sebagaimana yang kita lakukan beberapa tahun lalu);
•Melibatkan diri secara gigih dan penuh bermakna dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutamanya dalam usaha membanteras ketidakadilan dan penindasan serta menjunjung undang-undang antarabangsa; dan
•Mengangkat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang bertoleransi dan progresif.
Kerjasama Pelbagai Hala
Matlamat dasar luar negara Malaysia yang jelas berhubung dengan pertahanan dan keselamatan, pembangunan dan perdagangan, kerjasama dan diplomasi antarabangsa menentukan corak hubungan kita dengan negara jiran serta negara lain dalam rangka kerja ASEAN, ARF, APEC, ASEM, Kerjasama Selatan-Selatan, OIC, Komanwel, NAM, PBB dan pertubuhan serantau dan antarabangsa yang lain.Pertubuhan inilah yang cuba melindungi kepentingan negara membangun. Diakui bahawa kejayaan terbaik mereka dihasilkan secara gabungan, tetapi ternyata negara membangun menghadapi banyak masalah yang sama dan perlu bekerjasama untuk berdepan dengan cabaran globalisasi yang baru. Kita juga akan terus membuatkan kehadiran kita dirasai dalam forum antarabangsa.
Di peringkat pelbagai hala, Malaysia sentiasa mempertahankan kedudukan negara membangun dalam isu penting seperti keganasan, hak asasi manusia, demokrasi dan alam sekitar meskipun menghadapi tekanan yang kuat dalam proses itu. Malaysia akan terus memegang peranan yang proaktif di peringkat antarabangsa.
Malaysia telah dan akan terus aktif dalam OIC, Komanwel, NAM dan PBB.
Forum sedemikian berguna untuk menggalakkan kerjasama antara negara anggota, mencari penyelesaian untuk masalah global dan mewujudkan peraturan asas bersama yang akan menjadi panduan dalam hubungan antarabangsa yang harmoni. Malaysia akan terus menggunakan platform ini untuk membicarakan isu global seperti hak asasi manusia dan demokrasi, alam sekitar, keganasan antarabangsa dan jenayah transnasional, pelarian, pelucutan senjata dan pembaharuan Majlis Keselamatan PBB.
Kebelakangan ini, Malaysia berdiri di barisan hadapan dalam menyuarakan keprihatinan dan keperluan menentang ancaman kegiatan melanun di peringkat antarabangsa.
Kita percaya bahawa PBB perlu sentiasa berkesan dalam menangani isu pembangunan global, keamanan dan keselamatan, aktiviti kemanusiaan, krisis antarabangsa dan pelanggaran Piagam PBB serta prinsip undang-undang antarabangsa – secara adil dan saksama.
Malaysia sentiasa menyokong kuat semangat hubungan pelbagai hala dan menentang semua bentuk unilateralisme. Kita tidak percaya bahawa unilateralisme ialah cara untuk menyelesaikan masalah antarabangsa. Malaysia yakin bahawa hanya PBB sahaja yang boleh mengesahkan peraturan antarabangsa. Sebagai sebuah negara membangun yang kecil dalam arena antarabangsa, Malaysia perlu mendukung kuat prinsip piagam PBB sebagai jalan terakhir dalam pertahanan. Dasar Luar Malaysia – Rumusan
Fenomena penting yang akan memberikan kesan hebat kepada dasar luar negara Malaysia sambil kita mara ke depan ialah globalisasi. Cabaran terbesar kita adalah memperoleh perkara terbaik daripada proses globalisasi dan memberikan sumbangan terbaik kita dalam sistem tersebut. Dan sebagai balasan, kita membantu dalam menjadikan dunia tempat tinggal yang lebih aman dan saksama, menjadi pemimpin di rantau kita dan menunjukkan teladan serta menjadi negara anggota yang bertanggungjawab dalam komuniti antarabangsa.
Dalam bidang politik, kita menyaksikan berakhirnya perang dingin. Namun, dunia pada hari ini masih tidak selamat seperti yang dijanjikan. Apa yang digelar ‘desa global’ yang mesra masih belum menjadi kenyataan. Konflik lama masih belum tamat atau ada saja caranya untuk menghantui kita. Pada masa yang sama, konflik baru yang ada kalanya menumpahkan lebih banyak darah dan lebih kejam daripada konflik lama terus wujud dan mengganas atau tiada penyelesaiannya. Selain itu, dua isu lain yang amat membimbangkan juga masih berterusan, iaitu:
• Keganasan yang terus mengancam kehidupan dan harta benda mangsa yang tidak berdosa: dan
• Kewujudan senjata yang mengakibatkan kemusnahan besar dan boleh membawa kepada perang nuklear, kimia dan biologi.
Oleh itu, dasar luar negara kita perlu didorong ke arah memastikan lebih banyak negara menandatangani dan mengesahkan persidangan antarabangsa yang berkaitan, seperti Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), Perjanjian Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT), Konvensyen Senjata Biologi (BWC), Konvensyen Senjata Kimia (CWC) dan Konvensyen Periuk Api (CLM).
Prinsip dasar luar negara
• Inisiatif Malaysia di pelbagai forum serantau dan antarabangsa meletakkan negara dalam peta dunia.
• Kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik yang meningkat membolehkan Malaysia mewujudkan bidangnya sendiri di peringkat antarabangsa.
• Hadirnya dirasai membolehkan Malaysia menunjukkan usaha yang dibuat supaya pengaruhnya dalam menentukan agenda antarabangsa.
• Disebabkan kurang bergantung pada pertolongan dan bantuan luar, Malaysia boleh menyuarakan isu yang
tidak dapat disuarakan oleh negara membangun lain kerana bimbangkan balasan yang akan diterima daripada kuasa besar dunia, terutamanya Barat.
Tahun-tahun yang akan datang bakal menyaksikan dasar luar negara kita khususnya berorientasikan usaha menjamin kejayaan dalam negeri dan juga di peringkat antarabangsa, selaku pelaksana geopolitik dan ekonomi di peringkat global









